SELANGOR

MB: Cari penyelesaian isu banjir kilat, teliti semua faktor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BESTARI JAYA, 3 OKT: Kerajaan Negeri proaktifmencari jalan penyelesaian tuntas terhadap isu banjir kilat yang menjejaskan beberapa kawasan, di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya mengambil kira semua faktor bagi mengkaji semula aspek penyelenggaran yang sepatutnya dijalankan.

Katanya, perbincangan lanjut dijalankan ketika Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini, dengan membuat penelitian laporan berkaitan perkara terbabit.

“Saya akan meneliti setiap laporan seperti faktor yang menyebabkan berlakunya kejadian banjir kilat kerana kadangkala ia disebabkan taburan hujan tinggi, namun setakat ini semuanya terkawal.

“Walaupun kejadian ribut agak kuat di Klang dua hari lalu, namun pasukan kita terutama Majlis Perbandaran Klang (MPK) bergerak sangat pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pro Canselor Universiti Selangor (UNISEL) kampus Bestari Jaya, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Amirudin turut menjadi saksi penyerahan watikah pelantikan itu kepada Dato’ Setia Dr. Anuar Masduki buat kali keempat berturut-turut, sambil dipersembahkan kepada Canselor UNISEL, Raja Tan Sri Dato’ Sri Arshad Al-Haj Raja Tun Uda Al-Haj.

Semalam, SelangorKini melaporkan banjir kilat melanda Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), berhadapan IOI Mall Puchong ekoran hujan lebat di Lembah Klang,

Ekoran itu, ratusan kenderaan terperangkap di kedua laluan lebuhraya terbabit.

Lingkaran Trans Kota Holdings Berhad (LITRAK), dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan banjir kilat itu mula dikesan sekitar jam 5.05 petang selepas hujan lebat bermula jam 4.30 petang dengan taburan hujan mencecah 108.5 milimeter (mm).

Manakala dua hari lalu di Klang, berpuluh kenderaan dan rumah rosak ditimpa pokok serta pelbagai serpihan bumbung akibat ribut.

Seramai 86 mangsa daripada 21 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sejak semalam susulan kerosakan pada kediaman mereka.


Pengarang :