SELANGORSUKANKINI

MB doa kejayaan atlet Para Asian Game Malaysia

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 8 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mendoakan kejayaan kontinjen Malaysia yang menyertai Sukan Para Asia, di Indonesia, dari 8 hingga 16 Oktober ini.

Menerusi catatan terbaharunya di Twitter, beliau berharap kontinjen yang diketuai Lee Sheng Chow dapat menampilkan aksi terbaik dengan membawa kemenangan, sekali gus mengharumkan nama Malaysia.

“Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada semua atlet Malaysia di Asian Para Games yang bermula semalam.

“Semoga membawa kemenangan dan mengharumkan nama Malaysia di persada sukan Para dunia. All the best !!! #AsianParaGames2018,” tulisnya.

Misi memburu emas pada kejohanan kali ini bakal digalas 139 atlet, termasuk 110 lelaki dan 29 wanita dengan sandaran diletakkan kepada atlet olahraga seperti Muhammad Ridzuan Puzi, Abdul Latif Romly, Muhammad Ziyad Zolkefli, Cheah Lek Hou (badminton) dan Jong Yee Khie (powerlifting).

Atlet negara akan menyertai 161 acara daripada 15 sukan yang disertai.

Untuk rekod empat tahun lalu di Incheon Korea Selatan, kontinjen para negara berjaya membawa pulang 15 emas, 20 perak dan 27 gangsa untuk menduduki ranking ketujuh keseluruhan.


Pengarang :