SELANGOR

MB: Formula integriti dan peduli rakyat serlah kepercayaan rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 OKT: Aspek kepimpinan yang berintegriti dan dasar peduli rakyat menjadi formula untuk mengekalkan tampuk pemerintahan Pakatan Harapan di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, menerusi ramuan itu, rakyat akan terus memberi kepercayaan dan harapan kepada pimpinan.

“Saya sentiasa belajar meneliti sejarah kerana ia merupakan pengalaman berharga dan tinta ini mengajar supaya lebih berhati-hati dalam pentadbiran serta pengurusan.

“Pakatan Harapan memerintah sejak dua penggal lalu sangat mementingkan aspek integiriti dan peduli rakyat.

“Dengan dasar yang ditunjukkan ini, saya percaya tampuk pemerintahan kita akan kekal kerana ini dilihat berlaku dalam formula politik ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi wawancara sebuah stesen televisyen bersama Amirudin, semalam.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri memerlukan sokongan dan kerjasama daripada pemimpin, penjawat awam dan rakyat.

Katanya, ia bagi memastikan kelangsungan atau kejayaan Selangor sebagai gedung ekonomi negara terus diperkukuhkan.

“Selangor merupakan gedung ekonomi negara. Pada tahun lalu, kadar pertumbuhan tinggi berbanding nasional iaitu pada kadar 7.9 peratus.

“Diikuti program Inisiatif Peduli Rakyat yang dilaksanakan sejak 2008. Sudah pasti input, rancangan atau maklum balas diperlukan antara semua pihak.

“Oleh kerana itu, saya menganjurkan mesyuarat di setiap daerah bagi merapati penjawat awam dan mendengar sendiri rintihan rakyat,” katanya.


Pengarang :