SELANGOR

MB: Golongan B20 terus diperkasa

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 OKT: Golongan isi rumah B40 di negeri ini akan terus diperkasa menerusi pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri bagi memastikan mereka mampu keluar daripada kelompok berpendapatan sederhana.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia sebagai usaha untuk memastikan golongan berkenaan tidak terhimpit atau tertinggal dengan arus pembangunan yang semakin rancak ketika ini.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak mahu mereka bergantung akan bantuan atau peruntukan diberikan sebaliknya golongan ini perlu diberdaya.

“Kita mahu mendidik mereka supaya tidak bergantung kepada kerajaan tetapi mampu berdikari antaranya berjaya dalam perniagaan atau kemahiran yang membolehkan mereka keluar dari kelompok ini.

“Sudah pasti program pemberdayaan lebih baik daripada program pemberian.

“Oleh itu, saya selalu sebut mengenai Maju Bersama, apa yang kita lakukan mesti secara bersama iaitu muafakat dari istana hingga akar umbi. Itu asas pertama polisi Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi wawancara sebuah stesen televisyen bersama Amirudin, semalam.

Amirudin turut memberi contoh Program Usahawan Hijrah yang mendapat sambutan menggalakan daripada rakyat, malah Kerajaan Negeri sudah membelanjakan sebanyak RM360 juta kepada lebih 50,000 peminjam.

Malah, katanya, sebanyak RM50 juta juga dilaburkan untuk anak-anak Selangor yang mahu mengikuti pengajian program pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) sebagai persediaan menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri sedang mengkaji formula baru bagi membantu rakyat yang gagal mendapatkan pinjaman perumahan.

Katanya, walaupun Kerajaan Negeri menyediakan perumahan mampu milik, namun terdapat kegagalan pinjaman daripada institusi kewangan menyebabkan rakyat tidak memilik rumah.


Pengarang :