SELANGOR

MB hantar surat bantah kemasukan sisa plastik pukal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 OKT: Kerajaan Negeri akan menghantar surat kepada Kerajaan Persekutuan bagi mengharamkan kemasukan sisa plastik secara pukal yang memberi kesan buruk terhadap rakyat, di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah membenarkan sebarang operasi kilang memproses sisa plastik kerana ia menjejaskan kualiti hidup rakyat dan alam sekitar.

“Saya sudah menyatakan secara jelas tidak membenarkan mana-mana kilang kitar semula plastik beroperasi, melainkan ia melepasi Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) atau melalui pihak berkuasa berkaitan.

“Oleh itu, kita akan menghantar surat kepada Kerajaan Persekutuan menerusi kementerian berkaitan supaya tidak lagi membenarkan kemasukan ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Festival Al-Quran dan Kesenian Islam, di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi balas terhadap laporan sebuah media berhubung masalah longgokan plastik kitar semula dari serata dunia, di Kuala Langat terutama di Telok Panglima Garang.

Ekoran itu, penduduk di kawasan terbabit terpaksa berdepan risiko pelbagai jenis penyakit termasuk barah.

Bagaimanapun sebelum ini, Amirudin mengeluarkan kenyataan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah meluluskan operasi pemprosesan semula sisa plastik, sebaliknya ia di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kemasukan itu bukan biasa, sebaliknya membabitkan pukal besar dan perlu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa negara seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Justeru, langkah paling awal adalah dengan tidak membenarkan ia masuk di peringkat Persekutuan,” katanya.


Pengarang :