AGAMABERITA UTAMAPENDIDIKANSELANGOR

MB: Lahir lebih ramai huffaz dalam bidang profesional

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 OKT: Kerajaan Negeri bakal mengumumkan lebih banyak inisiatif baru bidang pendidikan khusus buat golongan huffaz dalam melanjutkan pelajaran disamping meneroka bidang profesional pada Belanjawan Selangor 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, inisiatif baru itu bagi memastikan pelajar tahfiz mempunyai pendidikan dan mendapat peluang seimbang sama seperti pelajar lain.

“Adalah menjadi harapan dan impian Kerajaan Negeri, agar dapat melahirkan lebih ramai golongan professional dalam pelbagai bidang yang sekaligus merupakan huffaz Al-Quran yang bertaqwa dan berketerampilan.

“Sememangnya diakui, di Selangor ini mempunyai ramai golongan profesional yang terdiri daripada jurutera, doktor, arkitek, akuantan, peguam dan sebagainya.

“Namun, semakin sukar untuk kita mencari golongan professional Muslim yang mampu menghafaz dan sekaligus menghayati Al-Quran dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Huffaz Kali Ke-2 2018 di Dewan Raja Musa Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor.

Menurutnya, dengan pengumuman itu diharapkan dapat membuka lebih banyak ruang mendapat pendidikan formal bidang akademik dan masuk ke universiti.

Kerajaan Selangor di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberi inisiatif kepada para huffaz bagi kategori 18 tahun ke bawah dan 18 tahun ke atas.

Elaun sebanyak RM500 sebulan diperuntukkan oleh Lembaga Zakat Selangor kepada pelajar atau guru-guru yang lulus cemerlang dalam ithbat hafazan Negeri Selangor.

 

 


Pengarang :