MB: Pantau keadaan semasa walaupun air surut | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Norway

Wartawan

Norhayati Umor

MB: Pantau keadaan semasa walaupun air surut

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 11 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengarahkan agensi Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersiap siaga dan meneruskan pemantauan di sebahagian kawasan banjir daerah ini walaupun air sudah surut.

Katanya, antara kawasan terbabit ialah Johan Setia, Jalan Kebun, Taman Petaling Indan dan Taman Melawis.


“Saya memantau rapat keadaan banjir di sebahagian kawasan ini, walaupun air sudah surut namun agensi berkaitan dan PBT perlu memantau keadaan semasa dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi laman twitternya. Amirudin kini berada di Timur Tengah dalam rangka kerjanya bersama pelajar Selangor di sana.

Beberapa kawasan di Klang dinaiki air berikutan hujan lebat dan fenomena air pasang.

Semalam, lima kawasan di Sungai Kandis terjejas akibat kejadian banjir kilat yang berlaku.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, antara lokasi terbabit ialah Jalan Kebun, Kampung Seri Kambus, Kampung Jawa, Kampung Bandar Puteri dan Johan Setia.

Terdahulu, sebanyak 10 lokasi dikenal pasti berisiko dilanda banjir akibat fenomena air pasang besar di Klang bermula dari sempadan Kuala Selangor hingga ke sempadan Kuala Langat iaitu Pangkalan Tok Muda, ban Sementa, ban Sungai Keramat Batu 5, Kapar; Jalan Pandamaran, Taman Selat Damai, Pelabuhan Klang, Jeti Nelayan Kampung Perepat, Pulau Ketam, Telok Gong dan ban Sungai Serdang.

Sementara itu, daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam diletakkan dalam keadaan persediaan peringkat tinggi kerana berisiko tinggi dilanda banjir sekiranya berlaku angin kencang dan hujan lebat.

Fenomena air pasang dijangka berakhir petang nanti dan difahamkan esok, paras air pasang akan mencecah 5.3 meter, pada jam 7.43 pagi manakala ia dijangka setinggi 4.9 meter apabila air pasang sekali lagi, pada jam 8.03 malam.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next