SELANGOR

MB: PEMADAM Selangor proaktif bantu polis cegah salah guna dadah

OLEH HAFIZAN TAIB

RAWANG, 8 OKT: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) di Selangor diminta memainkan peranan aktif membantu polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menangani isu penyalahgunaan dadah di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, masalah penyalahgunaan dadah perlu ditangani dengan lebih berkesan dengan pembabitan PEMADAM secara lebih menyeluruh bagi membantu pihak berkuasa.

“Ia isu berterusan dihadapi sejak sekian lama yang sukar diatasi hingga saat ini dengan perkembangannya semakin kompleks iaitu ada antara bahan dadah menyerupai minuman sedia ada.

“Kita tidak boleh lagi hanya mengharapkan pihak berkuasa khasnya polis dan AADK menjalankan tindakan maka PEMADAM harus menjalankan tanggungjawab secara lebih meluas termasuk mendekati golongan sasaran,” katanya dalam majlis Kejohanan Golf Amal anjuran PEMADAM Hulu Selangor di Tasik Puteri Golf & Country Resort, di sini, semalam.

Amirudin yang juga Pengerusi PEMADAM Selangor berkata, pihaknya berusaha melaksanakan program tertentu antaranya konsert bersama Ella, gathering motosikal dan sesi pertemuan bersama kumpulan sasaran untuk membantu pihak berkuasa mengatasi perkara berkenaan, walaupun dengan peruntukan terhad.

“Kita perlu tangani perkara ini kerana jika kita membiarkannya ia akan membarah dan mengagalkan segala usaha dirancang Kerajaan Negeri menjadikan negeri ini sebagai Smart Selangor.

“Ia harus diatasi bermula dari rumah dan PEMADAM memainkan peranannya,” katanya.

Berhubung kejohanan itu, beliau berkata, selain bertujuan mengumpul dana untuk menjalankan pelbagai program dan aktiviti pencegahan dadah di daerah ini, ia dapat merapatkan hubungan antara ketua jabatan dan jabatan di Selangor.

“Ia momentum perlu dikekalkan kerana Selangor sebagai negeri termaju dengan pencapaian baik sering menjadi tumpuan ramai dan kerjasama semua jabatan akan menentukan hala tuju digariskan Kerajaan Negeri dapat digerakkan,” katanya.

Turut hadir, Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari; Ahli Dewan Negeri (ADN) Batang Kali, Harumaini Haji Omar; ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong dan Pengerusi PEMADAM Hulu Selangor, Mohd Fauzi Mohd Yatim.


Pengarang :