SELANGOR

MB: Penggunaan air di Malaysia tertinggi di Asean, perlu berubah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG, 23 OKT: Penggunaan air yang tidak cekap merupakan salah satu penyumbang kepada masalah ketidakcukupan air yang boleh berlaku kepada negara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, di Malaysia, penggunaan air merupakan cabaran terbesar dengan kadar penggunaan bagi setiap individu sebanyak 250 liter sehari iaitu paling tinggi dalam kalangan negara ASEAN.

“Singapura menggunakan 170 liter sehari sementara Thailand sebanyak 90 liter sehari berbanding Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mencadangkan penggunaan air pada kadar 165 liter sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Pelan Induk dan Forum Kelestarian Sumber Air Negeri Selangor di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya di sini, hari ini.

Amirudin berkata, menurut kajian, hanya 30% digunakan untuk makan dan minum sementara bakinya digunakan untuk membasuh kereta, pakaian dan kolam renang.

Justeru, katanya masyarakat sememangnya memerlukan perubahan minda dan sikap dalam penggunaan air.

Katanya lagi, aalaupun Kerajaan Negeri mampu membangunkan loji rawatan air yang baru, namun kesedaran rakyat terhadap kepentingan menggunakan air secara cekap, berhemah dan berjimat amatlah perlu dititik beratkan bagi mengelakkan sebarang pembaziran.

Katanya, keseimbangan antara permintaan dan bekalan harus dicapai untuk memastikan penggunaan air lebih efisien untuk menjamin bekalan air di masa hadapan.

“Cabaran kita di Abad Ke-21 ini bukan lagi untuk menyediakan bekalan air kepada penduduknya, tetapi lebih kepada usaha untuk memastikan bekalan air terjamin, mampan dan mampu mendepan perubahan iklim sama ada semasa musim panas dan kering yang panjang ataupun musim tengkujuh dan banjir besar,” katanya.


Pengarang :