BERITA UTAMASELANGOR

MB: Persiapan hadapi musim monsun dipertingkat

OLEH NADIAH ZAMLUS

BANGI, 20 OKT : Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pendidikan Selangor (JPS) berhubung persiapan menghadapi peperiksaan pada musim monsun kali ini.

Beliau yang juga pemangku EXCO Pendidikan negeri berkata, pertemuan itu bagi membolehkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) berjalan dengan lancar.

“Kerajaan Negeri turut sedia membantu bagi menangani permasalahan tersebut, dan saya memandang berat isu ini kerana turut memangku portfolio pendidikan buat sementara waktu.

“Namun kita bersyukur kerana di Selangor tidak ada kawasan sekolah yang dinaiki banjir, dan saya yakin JPS juga sudah ada pelan mereka sendiri bagi menghadapi monsun kali ini,” katanya ketika ditemui media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program RHB Excel dan RHB Money Monster anjuran kumpulan perbankan RHB di Kompleks RHB, Bangi, hari ini.

Pada masa sama, Amirudin turut mengarahkan kesemua pejabat daerah dan agensi berkaitan untuk bersedia menghadapi peralihan monsun yang dijangka berlaku November depan.

Katanya, kesemua sistem saliran dan perparitan perlu dinaiktaraf serta diselenggara bagi mengelakkan kejadian banjir lebih buruk.


Pengarang :