SELANGOR

MB Selangor hadiri mesyuarat bersama PM

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 16 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari buat pertama kalinya menghadiri mesyuarat bersama menteri dan ketua menteri, di Putrajaya.

Menerusi twitter, beliau berkata, mesyuarat kali ke-132 itu dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia adalah mesyuarat pertama setelah Pakatan Harapan yang dipimpin Tun Dr Mahathir memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada 9 Mei lalu.

Mesyuarat yang bermula pada jam 10.30 pagi itu turut dihadiri beberapa menteri kabinet dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir.

Antara menteri besar dan ketua menteri yang hadir ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Pahang, Kelantan dan Terengganu pula dihadiri wakil menteri besar masing-masing.

Menteri kabinet yang turut menyertai mesyuarat itu antaranya Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.


Pengarang :