Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

MB ucap takziah keluarga mangsa nahas pesawat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 30 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa nahas pesawat Lion Air JT610 yang terhempas di perairan Karawang, Indonesia, semalam.

Menerusi catatan terbaharunya di Twitter hari ini, beliau menyatakan rasa simpati dan sedih selepas menerima perkhabaran itu.

“Saya melahirkan rasa dukacita atas kehilangan penumpang dan krew pesawat Lion Air JT610 yang terhempas semalam di perairan Kerawang.

“Semoga roh mereka dicucuri rahmat. Ucapan takziah kepada ahli keluarga di atas ujian yang berat ini. #JT610,” tulisnya.

Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 yang membawa 189 penumpang dan anak kapal dilaporkan terputus hubungan sebelum terhempas di perairan Karawang, selepas berlepas pada jam 6.20 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.

Pesawat berkenaan sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada jam 7.10 pagi waktu Indonesia barat (8.10 pagi waktu Malaysia).


Pengarang :