BERITA UTAMASELANGOR

MB ucap takziah pemergian Tan Sri Hassan Azhari

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan takziah buat keluarga Tokoh Agama, Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari.

“Innalillah. Tan Sri Hassan Azhari, nama yang sinonim dengan perkembangan syiar Islam dan Al Quran di Malaysia telah menghembuskan nafas terakhir jam 5.07 petang.

“Beliau juga dikenali sebagai orang yang melaungkan azan ketika 31 Ogos 1957.

Semoga roh beliau dicucuri rahmat. Al Fatihah,” tulis Amirudin menerusi Twitternya.

Terdahulu, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur, Ahad lalu selepas disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat.

Beliau pendidik terkenal dalam rancangan Muqaddam pada awal 1970-an di saluran RTM selain menjadi individu yang melaungkan azan ketika kemerdekaan negara Malaysia pada 31 Ogos 1957.

Allahyarham juga adalah hakim Pertandingan Tilawah al-Quran yang paling lama berkhidmat dalam negara iaitu hampir 46 tahun.

Tiga anak lelakinya dikenali ramai iaitu Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang Datuk Fuad Hassan dan pelakon terkenal, Datuk Jalaluddin Hassan.

Difahamkan, Allahyarham akan dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, di Persiaran Kayangan, Seksyen 5, Shah Alam, Selangor, atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.


Pengarang :