PBTSELANGOR

MBPJ sasar lebih 20,000 pengunjung di PJ Fair

PETALING JAYA, 22 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyasarkan kehadiran lebih 20,000 pengunjung sempena Festival Petaling Jaya (PJ Fair), pada 4 hingga 11 November ini, di Dataran Petaling Jaya, Persiaran Barat, Seksyen 52, di sini.

Unit Sekretariat MBPJ dalam kenyataan berkata, festival itu bagi mempromosikan Petaling Jaya sebagai Kota Seni dan destinasi pelancongan antarabangsa.

Katanya, ia turut menyokong pelaksanaan Pelan Induk PJ Sustainable 2030 dan dasar perbandaran di peringkat global khususnya berkaitan aspek pembangunan budaya dan komuniti.

“PJ Fair kini memasuki tahun keenam penganjurannya, sejak diperkenalkan pada 2013 yang menjurus kepada mempromosikan kepelbagaian dan keharmonian budaya serta kesenian komuniti setempat juga antarabangsa dengan tema International Folklore Festival,” katanya.

Katanya, kemuncak acara akan diadakan pada 10 November ini, pada jam 8.30 malam disusuli persembahan kebudayaan dari sembilan negara seperti Malaysia, Indonesia, Jepun, Korea Selatan , Thailand, Filipina, Iran, Finland dan Botswana.

MBPJ berkata, negara terbabit adalah di bawah program PJ Friendship City dan International Council of Folklore Festival and Folk Arts Organizations, iaitu sebuah badan bukan kerajaan di bawah seliaan United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization.

“Pelbagai acara menarik yang bercirikan crowd puller, trendy dan lifestyle akan diadakan antaranya persembahan kebudayaan, konsert artis tempatan dan Malaysia Book of Records (Penyertaan Mannequin Paling Ramai).

“Selain itu, festival ini turut menyediakan Asian Corner (makanan, minuman, pakaian dan kraftangan), Painting & Pledge And Plant A Tree (World Habitat’s Day), PJ Green Explorace, Fun Run, Smart Ride, Kejohanan Bola Jaring Antarbangsa, pertandingan memancing dan zon kanak-kanak,” katanya.

PJ Fair turut menampilkan persembahan artis terkemuka antaranya XPDC, Akim & The Majistret, Waris, Ara Johari, Masya Mashitah, Santesh, Ben Laden, Ismail Izzani, Uchop (Vocal Bukan Sekadar Rupa), Aina Mentor dan Maynine Band.

 


Pengarang :