PBTSELANGOR

MBSA bakal anjur Pasar Bunga Shah Alam dan Pameran Anggerik

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal menganjurkan Pasar Bunga dan Pameran Anggerik Shah Alam 2018 selama tiga hari mulai 11 hingga 14 Oktober ini, di Laman Budaya, Taman Tasik Shah Alam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, program itu diadakan bersempena sambutan ulang tahun bandar Raya Shah Alam ke-18.

“Pasar Bunga dan Pameran Anggerik Shah Alam 2018 ini adalah komitmen berterusan MBSA untuk mendidik komuniti menghargai suasana hijau dan keindahan landskap.

“Pasar ini membabitkan penyertaan tujuh gerai menjual pelbagai jenis pokok anggerik dan hasil kebun seperti bayam, cili, jagung, kobis, roselle, limau, terung serta kompos juga baja organik,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, pasar itu dibuka dari jam 8 pagi hingga 8 malam dengan pelbagai pengisian aktiviti menarik terbuka kepada orang ramai.

Beliau berkata, antaranya Pertandingan Anggerik individu (terbuka kepada Ahli Kelab Anggerik Shah Alam dan Penduduk Shah Alam), Pameran Anggerik dan aktiviti Memancing Mini Kanak-Kanak.

“Pasar bunga ini juga diharapkan menjadi daya tarikan pelancong dalam dan luar negara khususnya buat peminat bunga serta tanaman hiasan

“Ia juga menjadi landasan MBSA memperkenalkan produk tempatan dan menggalakkan penduduk di sekitar Shah Alam terutamanya untuk menanam pokok bagi menghijaukan suasana alam sekitar di kediaman masing-masing,” katanya.


Pengarang :