PBTSELANGOR

MBSA serah cenderahati bayi lahir 10 Oktober

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 OKT: Sempena Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam ke-18, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyampaikan sumbangan cenderahati kepada bayi yang dilahirkan, pada hari ini.

Ketua Ahli Majlisnya, Kamarudzaman Sanusi berkata, seramai 70 bayi menerima wang tunai RM50 dan cederahati bernilai RM100 serta 50 kanak-kanak menerima wang tunai RM50 juga cederahati bernilai RM50.

Katanya, kunjungan berkenaan amat bermakna sebagai tanda kesyukuran dan berkongsi kegembiraan bagi meraikan kelahiran bayi, pada tarikh 10 Oktober.

“Hari ini adalah tarikh yang amat bermakna kepada MBSA kerana pada 18 tahun lalu, MBSA dinaik taraf daripada Majlis Perbandaran kepada Majlis Bandaraya.

“Dalam kunjungan ini, kita menyerahkan cenderahati berupa kelengkapan bayi, hamper dan sijil kepada bayi yang lahir, pada tarikh ini.

“Kita juga menyerahkan cenderahati kepada kanak-kanak di Wad Pediatrik,” katanya kepada SelangorKini.

Kamarudzaman berkata, kunjungan berkenaan adalah salah satu aktiviti sempena Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Shah Alam ke-18.

Katanya, selain itu MBSA turut mengadakan majlis bacaan yassin, doa selamat, pameran anggerik dan pasar bunga serta hari tanpa kenderaan.

“Turut diadakan hari bertemu pelanggan, majlis forum perdana hal ehwal Islam, program jualan sayur petik dari ladang dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, Pihak Berkuasa Tempatan berkenaan turut menawarkan kepada orang ramai tempat letak kereta percuma di Bangunan Wisma MBSA dan tempat letak kereta hab stesen komuter, Seksyen 19.

Manakala, promosi keahlian percuma bagi perpustakaan MBSA, penyewaan padang C di Dataran Kemerdekaan secara percuma dan promosi pembayaran kompaun turut dilaksanakan.


Pengarang :