SUKANKINI

MBSA tarik 13 negara sertai Endurance Ride 2018

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya menarik 13 negara menyertai Pertandingan Berbasikal “Shah Alam International Enduride (Endurance Ride) 2018” yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), di sini, hari ini.

Antara negara terlibat selain Malaysia, adalah Singapura, Indonesia, Thailand, India, Filipina, Korea, Jepun, United Kingdom, Itali, New Zealand, Afrika Selatan, Amerika dan Australia dengan cabaran menjangkau jarak sejauh 130 kilometer (km) bertujuan menguji fizikal dan mental peserta.

Ahli Majlisnya, Kamarudzaman Sanusi berkata, program anjuran MBSA itu merupakan kali keempat dilaksanakan hasil kerjasama bersama Bike Away Sdn Bhd.

“Hari ini, sambutan diterima amat menggalakkan dan kita berjaya menarik hampir 1,500 peserta dari dalam serta luar negara, sehingga terpaksa menghadkan jumlah penyertaan atas faktor logistik.

“Namun, MBSA komited mahu melaksanakan program berbasikal ini setiap tahun kerana ia kini menjadi trend kepada golongan belia terutamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ‘flag-off’ peserta Shah Alam International Enduride 2018, di sini, seawal jam 7.30 pagi tadi.

Pada masa sama, Kamarudzaman berkata, program itu merupakan salah satu platform MBSA untuk menganjurkan acara berbasikal bertaraf antarabangsa selaras dengan usaha menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya sukan.

“Program ini dijadikan sebagai produk tarikan pelancongan sukan di Shah Alam selain acara seperti Kayuhan Santai Shah Alam dan Pertandingan Berbasikal Kriterium Shah Alam.

“Selain itu, ia bertujuan memperkenalkan gaya hidup sihat dengan berbasikal selaras usaha MBSA untuk mempromosikan laluan basikal bagi menggalakkan aktiviti itu dapat dijalankan dengan selamat dalam kalangan warga Shah Alam khususnya,” katanya.

Terdahulu, Shah Alam International Enduride 2018 itu mempertandingkan dua kategori iaitu “Endu RACE” dan “Endu RIDE”.

“Endu RACE” bagi Lelaki Junior bawah 19 tahun, Lelaki Terbuka 20-34 tahun, Lelaki Senior Master berumur 40 tahun ke atas dan Wanita Terbuka, manakala “Endu RIDE” merupakan kayuhan santai bagi Lelaki Junior bawah 19 tahun, Lelaki Terbuka berumur 20-34 tahun, Lelaki Master 35-45 tahun, Lelaki Senior Master 46 tahun ke atas dan Wanita Terbuka.

Program kayuhan itu bermula dan tamat di Ruang Legar SCCC melalui jalan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Peserta yang berjaya melengkapkan kayuhan dalam masa yang ditetapkan akan menerima sijil penyertaan dan pingat ‘Finisher’ manakala 50 peserta dengan catatan masa terbaik akan menerima sijil mencatatkan masa dan juga trofi sampingan.

Program ini turut mendapat tajaan daripada Aeon Credit Service, Tourism Selangor, N8 Energy Gel, Physio, 100Plus F&N Baverages, Pihak Polis DiRaja Malaysia, MPS, MPK dan MDKS turut memberi bantuan menjayakan program ini.


Pengarang :