PBTSELANGOR

MBSA terima 40 aduan masalah infrastruktur

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima sebanyak 40 aduan daripada penduduk berkaitan infrastruktur sepanjang Program Hari Mesra Bersama Pelanggan, di Plaza Shah Alam, di sini, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, kesemua aduan terbabit adalah mencantas pokok, pembaikan longkang, jalan dan lampu, kenderaan buruk serta pembersihan lot tanah kosong.

“Justeru, Hari Mesra Bersama MBSA sempena ulang tahun bandar raya Shah Alam ke-18 diadakan sebagai usaha mendekati warga Shah Alam secara terus.

“Jika terdapat aduan kita akan rekod dan laporkan kepada jabatan terbabit untuk tindakan lanjut,” katanya.

Shahrin berkata, program sedemikian memberi peluang khusus kepada orang ramai dan pihak berkepentingan menyalurkan aduan, komen serta saranan sepatunya kepada kami.

Katanya, ia adalah komitmen berterusan pihaknya bagi mempertingkatkan dan memperbaiki sistem penyampaian kepada masyarakat setempat.

“Pada masa sama, program ini antara usaha pihak kami untuk menguar-uarkan dan mempromosikan perkhidmatan yang disediakan MBSA kepada orang ramai,” katanya.

Terdahulu, Program Hari Mesra MBSA diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-18.

Turut hadir, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han serta Dato’ Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.

 


Pengarang :