PBTSELANGOR

MBSA, UMW Corporation jaya Shah Alam Trees For Life 2018

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terus komited menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon, menjelang 2030 dengan menganjurkan program ‘Shah Alam Trees For Life 2018’ bersama UMW Corporation Sdn Bhd, pada 29 September lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, program yang berlangsung di Taman Tasik Shah Alam itu adalah insiatif untuk menghijaukan landskap bandar raya berkenaan.

Katanya, MBSA turut menerima sumbangan RM25,000 daripada UMW Corporation Sdn Bhd bagi menjayakan usaha itu.

“Sebanyak 4,337 pokok ditanam di sekitar kawasan hijau dan tepian laluan pejalan kaki Tasik Timur, Taman Tasik Shah Alam, di sini.

“Antara jenis pokok yang ditanam adalah Plumeria rubra, Annona muricata, Excoecaria spp, Justicia gendarussa, Allamanda cathartica dan Cordyline fruticosa,” katanya dalam kenyataan.

Majlis perasmian yang disempurnakan Ahli Majlis MBSA, Papparaidu @ Raidu Veraman turut dihadiri Ketua Perkhidmatan dan Pengurusan Kumpulan UMW Corporation Sdn Bhd, Muzafar Munzir.

Program itu membabitkan 230 peserta terdiri daripada warga kerja UMW Corporation Sdn Bhd, LF Logistics Services (M) Sdn Bhd, warga kerja MBSA, Eco-warrior, Sekolah Kebangsaan Subang Bestari 2, KDU University College serta sukarelawan individu.

Dalam usaha merealisasikan matlamat bandar raya rendah karbon, MBSA sebelum ini mengadakan program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, Perintis Hijau Dusun@My Sekolah Shah Alam, Kebun Komuniti Shah Alam, Penyediaan Trek Basikal Shah Alam dan Bas SMART Selangor.


Pengarang :