PBTSELANGOR

MDHS gesa penduduk ambil berat soal kebersihan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU SELANGOR, 23 OKT: Penduduk di daerah ini digesa supaya sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan dan menjauhi amalan membuang sampah di merata tempat, terutama di atas jalan raya.

Jurucakap Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dalam kenyataan berkata, pihaknya berasa kesal serta kecewa dengan tindakan sesetengah pihak yang membuang sampah domestik juga mengambil sikap sambil lewa terhadap permasalahan itu.

Katanya, ia disyaki sebagai tindakan protes kerana tapak pembuangan sampah haram di bahu jalan sudah dibersihkan, bahkan ditutup menggunakan ‘Cordon Tape’ untuk mengelakkan kejadian terbabit berulang.

“Sisa di kawasan komersial Jalan Melati 2, Bukit Beruntung itu diletakkan di tengah jalan dan berisiko menyebabkan kemalangan atau kacau ganggu kepada pengguna jalan raya.

“Kemungkinan untuk kacau ganggu oleh anjing adalah lebih tinggi ekoran plastik berkenaan boleh dikoyakkan dan menyebabkan kotoran di atas jalan,” katanya.

Kenyataan sama turut menyebut, kutipan sisa pepejal di kawasan komersial adalah setiap hari dan pemegang lesen harus menyediakan tong sampah mencukupi seperti ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Contohnya, tong sampah bertutup dan berkapasiti minimum 120 liter seperti dinyatakan dalam Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan, dan Perindustrian MDHS 2007,” katanya.

Justeru, MDHS mengharapkan kerjasama setiap penduduk di Hulu Selangor untuk bersama menjaga kebersihan, di kawasan terbabit.


Pengarang :