PBTSELANGOR

MDKL arah henti operasi premis makanan kotor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LANGAT, 1 OKT: Penguat kuasa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mengarahkan dua premis makanan di Bandar Saujana Putra, di sini, menghentikan operasi serta-merta setelah didapati terlalu kotor dan dikesan mempunyai lipas.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, tindakan terbabit diambil semasa pemeriksaan rutin ke atas lima premis menjual makanan di sekitar daerah berkeaan, Selasa lalu.

Katanya, pemeriksaan itu dijalankan tujuh anggota penguat kuasa diketuai Penolong Pegawai Kesihatan MDKL, Noor Hayati Ibrahim.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua gerai makan disita di bawah Undang-Undang Kecil 62, Undang-Undang Kecil Perlesenan Establisymen Makanan (MDKL), 2007.

“Pemilik premis diberi tempoh 14 hari untuk melakukan kerja pembersihan seperti diarahkan,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zain berkata, beberapa ekor lipas ditemui di sekitar tempat memasak dan penyimpanan makanan semasa pemeriksaan dijalankan anggota Bahagian Kesihatan.

Katanya, pihaknya turut mendapati premis terbabit mengabaikan soal penjagaan kebersihan sehingga menyebabkan pembiakan lipas.

“Dalam pemeriksaan sama, sebanyak 11 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan.

“Antara kesalahan yang dilakukan seperti tidak memakai apron dan penutup kepala serta tidak menyediakan perangkap minyak.

“Selain itu, peniaga juga dikesan melakukan kesalahan dengan meletakkan kerusi dan meja di petak letak kereta, manakala pekerjanya pula tidak mendapatkan imunisasi demam kepialu,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Zain mengingatkan peniaga supaya sentiasa mematuhi garis panduan dan syarat terdapat dalam kelulusan lesen perniagaan.

Katanya, peniaga dinasihatkan untuk menjalankan pemeriksaan dari masa ke masa bagi mengelakkan premis disita atau dikenakan tindakan kompaun.


Pengarang :