SELANGOR

MDKL tutup 27 kilang sisa plastik haram

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 29 OKT: Sebanyak 27 buah kilang kitar semula plastik haram ditutup sepenuhnya oleh Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), manakala enam buah kilang lagi sudah dikosongkan pemilik.

Setiausahanya, Mohd Yasin Alwi berkata, daripada 27 kilang itu, sebanyak 17, 329 tan metrik sisa plastik terkumpul dan perlu dibersihkan.

Katanya, ketika ini, MDKL membuka tender pembersihan bagi kira-kira 6,000 tan metrik sisa plastik membabitkan sebuah kilang di Jenjarom selepas pemilik tanah membuat akaun sumpah dan enggan mengaku miliknya.

“Sebanyak 55 kilang berdasarkan aduan diterima. Daripada jumlah itu, 10 kilang mempunyai lesen dan empat buah kilang mempunyai lesen sementara.

“Manakala, tiga buah kilang lagi tidak terbabit dengan aktiviti pemprosesan plastik, empat buah lagi terbabit dengan gudang penyimpanan serta selebihnya kilang haram.

“Kita juga sudah mengadakan mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk melaksanakan pembersihan di lapangan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui.

Mohd Yasin berkata, MDKL juga sedang menyiapkan kertas siasatan berhubung isu berkenaan untuk pendakwaan.

Sebelum ini sebuah akhbar melaporkan hampir 300,000 penduduk di Kuala Langat terutamanya di Telok Panglima Garang dekat sini kini terdedah dengan risiko pelbagai jenis penyakit termasuk kanser apabila daerah tersebut dijadikan tempat longgokan plastik kitar semula dari serata dunia.

Stesen radio dan portal berita New Zealand, RadioNZ baru-baru ini melaporkan ribuan tan sisa plastik dari negara itu didakwa dibawa masuk ke Malaysia, selepas China mengharamkan pengimportan sisa plastik.

Laporan itu menyebut, hampir 40 kilang haram yang beroperasi di Jenjarom membakar dan membuang air tercemar selepas memproses sisa plastik itu.

 


Pengarang :