BERITA UTAMANASIONAL

Bina negara bukan kerja 100 hari

OLEH NADIAH ZAMLUS

BANGI, 5 OKT: Rakyat perlu memberi ruang kepada kepimpinan kerajaan baharu untuk melakukan perubahan terhadap negara ke arah lebih bererti.

Penerima Tokoh Maal Hijrah 2018, Prof Dato’ Dr Siddiq Fadzil berkata, hal itu kerana langkah membina semula negara tidak boleh dilakukan hanya dalam tempoh 100 hari.

“Usah dipaksa, beri kesempatan untuk mereka (kerajaan) melakukan perubahan bererti secara mendasar, bukan perubahan kosmetik semata-mata.

“Beri mereka tempoh yang diperlukan, biarkan mereka menyudahkan kerja yang memakan masa kerana ada kalanya kita terpaksa menunggu sehingga ia berjaya,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Dewan Datuk Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, malam tadi.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa; Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Pada masa sama, Siddiq yang juga Pengerusi Institut Darul Ehsan berkata berkata, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu membolehkan negara menuju ke gerbang Malaysia baru.

“Tetapi Malaysia yang lebih baik baru sahaja bermula dan belum dimaknai secara tuntas, apabila sukarnya meruntuhkan suatu sistem, maka lebih sukar melakukan ‘rebuilding’.

“Membangun sistem baharu di atas kerosakan sistem lama bukan pekerjaan mudah, apa lagi jika yang merosakkan adalah manusia dan budayanya,” katanya.


Pengarang :