dav
SELANGOR

Menteri arah JAS tahan warga tempatan terbabit kilang haram

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 4 OKT: Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menahan warga tempatan yang terbabit dengan kilang haram memproses sisa plastik.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, pihaknya mengarahkan JAS dan polis untuk menahan warga tempatan melalui surat kuasa khas mengikut Akta Kualiti Alam Sekililing 1974 Seksyen 37C.

“Ketua Pengarah atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa secara bertulis boleh menangkap tanpa waran mana-mana individu yang dipercayai cuba melakukan kesalahan mengikut akta ini.

“Jika sebelum ini, tangkapan selalu dibuat kepada warga asing sahaja. Namun, kali ini, kita akan turut menangkap juga warga tempatan yang terbabit mengikut akta berkenaan bertujuan membantu siasatan sekali gus mengelakkan hal itu terjadi lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam operasi menutup kilang haram di Telok Panglima Garang, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau tetap tidak akan berkompromi kepada mana-mana pengusaha kilang haram terbabit yang mahu berpindah dari Kuala Langat dan beroperasi ke tempat lain, malah akan tetap mendakwa kesalahan pesalah berkenaan di mahkamah.

Sementara itu, Bee Yin turut komited mahu memotong bekalan utiliti terhadap kilang terbabit bertujuan mengekang ia daripada terus beroperasi.

Terdahulu, operasi bersepadu itu turut disertai Majlis Daerah Kuala Langat, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Syarikat Bekalan Air Selangor dengan kekuatan seramai 100 anggota.


Pengarang :