SELANGOR

Menteri Besar bakal jumpa menteri bincang isu kilang plastik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 OKT: Kerajaan Selangor akan mengambil langkah lebih tegas bagi menangani permasalahan kilang plastik di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, disebabkan itu pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, dalam masa terdekat.

“Daripada menghantar surat kepada kementerian, saya rasa lebih baik Kerajaan Selangor terus berjumpa bagi membincangkan langkah komprehensif dengan pihak kementerian.

“Perbincangan itu akan mengkhususkan kepada pemberian lesen import (AP) dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis Hi-Tea bersama pengamal media di Hotel Concorde, semalam.

Sebelum ini SelangorKini melaporkan Amirudin akan menghantar surat kepada kerajaan Persekutuan supaya tidak lagi membenarkan kemasukan sisa plastik terutama dalam bentuk pukal yang besar.

Pada masa sama, beliau juga memberikan kebebasan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan sekiranya wujud skandal kilang plastik tersebut.

“Itu SPRM sudah boleh siasat bila-bila masa sahaja, dan langkah Kerajaan Negeri amat jelas, kilang ini perlu ditutup kerana kesannya amat parah kepada alam sekitar,” katanya.

 


Pengarang :