NASIONAL

Menteri tidak dibenar jaga Parlimen

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Menteri tidak lagi diberi tanggungjawab menjaga hal ehwal Parlimen selepas Akta Perkhidmatan Parlimen kembali berkuat kuasa.

Perkara itu diumumkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming pada Persidangan Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya, hal itu dipersetujui kerajaan dan pembangkang bertujuan meningkatkan status Akta Perkhidmatan Parlimen kepada Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen.

“Apabila wujudnya akta ini, Parlimen pasti akan mempunyai kewangan sendiri sekali gus menteri tidak akan sesekali bertanggungjawab apa sahaja urusan berkenaan Parlimen.

“Speaker akan menjadi Ketua Dewan, yang akan mempengerusikan Dewan,” katanya.

Malah, katanya, apabila akta terbabit diwujudkan, parlimen tidak akan diletakkan di bawah JPM.

“Daripada segi autonomi kewangan, ia tidak lagi berada di bawah JPM,” katanya.

Terdahulu, kerajaan melantik anggota Dewan Rakyat atau Dewan Negara selaku menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bertujuan menguruskan urusan Parlimen.

Malah, sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerajaan Barisan Nasional turut melantik 11 anggota Parlimen menjadi menteri di JPM.

Namun, selepas PRU14 kerajaan Pakatan Harapan cuma melantik tiga menteri dan tiga timbalan menteri di bawah JPM.


Pengarang :