SUKANKINI

MFL batalkan Peraturan 18 Pendaftaran Pemain Asing

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 OKT: Pasukan Liga Malaysia musim 2019 berpeluang mendaftar pemain asing berkualiti dari divisyen lebih rendah sekali gus tidak terbeban dengan kos yang tinggi.

Perkembangan itu susulan pembatalan Peraturan 18 Pendaftaran Pemain Asing, Artikel 18.2(f), Manual Liga Malaysia oleh Malaysian Football League (MFL).

MFL berkata, keputusan Lembaga Pengarah itu juga adalah bagi menambah tahap profesionalisme pasukan Liga Malaysia sekali gus memastikan kualiti pemain asing yang didaftarkan mencapai tahap diperlukan dalam persaingan liga.

“Setelah meneliti peraturan Manual Liga Malaysia, Lembaga Pengarah mendapati pemilihan pemain asing dalam pasukan Liga Malaysia adalah terhad.

“Ini kerana pasukan yang bertanding terbeban dengan kos untuk mengambil pemain daripada liga luar negara dari divisyen yang lebih tinggi kerana pasukan perlu menurut kelayakan yang telah ditetapkan dalam peraturan tersebut.

“Pembatalan ini juga mampu membuka peluang kepada pasukan membuat pelaburan dalam pengambilan pemain asing muda yang turut mampu memberi kelebihan buat pasukan dalam pasaran perpindahan pemain antarabangsa.

“Peluang ini sukar untuk dilakukan sebelum pembatalan peraturan tersebut,” katanya.

Peraturan 18 Pendaftaran Pemain Asing, Artikel 18.2(f), Manual Liga Malaysia berkaitan kelayakan negara pemain asing yang boleh didaftarkan dalam Liga Malaysia.

Bagaimanapun, MFL menegaksan pemain asing yang hendak didaftarkan untuk bermain dalam Liga Malaysia 2019 wajib memperoleh visa dan permit kerja yang sah serta Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC)

“MFL amat berharap langkah pembatalan peraturan 18.2(f) ini mampu mewujudkan persaingan yang lebih kompetitif dan membantu menyelesaikan beban kos bagi setiap pasukan yang bertanding di dalam Liga Malaysia 2019,” katanya.


Pengarang :