EKONOMINASIONAL

MIDF: Asas ekonomi negara kukuh, mampu tangani krisis luaran

KUALA LUMPUR 25 OKT: Asas ekonomi Malaysia yang secara relatifnya kuat serta kukuh mampu menahan krisis yang digerakkan oleh faktor luaran, kata MIDF Amanah Investment Bank (MIDF).

Dengan menyatakan bahawa ekonomi berkenaan dipacu oleh perbelanjaan domestik dan kurang terdedah dengan dagangan luaran, firma penyelidikan itu menambah bahawa, peningkatan yang kukuh harga tenaga global menyediakan sokongan tambahan untuk pelaburan swasta dan pekerjaan, terutamanya dalam sektor perlombongan.

Selepas krisis kewangan pada 2009, Malaysia beransur-ansur beralih daripada kebergantungan terhadap eksport kepada ekonomi yang didorong oleh domestik.

“Kadar eksport kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengecil kepada 70.4 peratus pada 2017 daripada 98.2 peratus pada 2007, sementara kadar import susut kepada 62.1 peratus daripada 76.5 peratus dalam masa 10 tahun,” kata MIDF dalam nota penyelidikannya.

Kadar terkini eksport adalah terendah dalam masa 23 tahun dan import terendah dalam masa 17 tahun, memandangkan sumbangan eksport kepada KDNK menjunam kepada terendah dalam masa 21 tahun, sebanyak 8.4 peratus pada 2017 manakala penggunaan swasta adalah melebihi 50 peratus untuk lima tahun berturut-turut sejak 2013.

“Justeru, sebarang kejutan luaran mempunyai impak yang kurang kepada Malaysia berbanding krisis sebelum ini, di tengah-tengah kurangnya pendedahan kepada dagangan antarabangsa,” tambah MIDF

Firma pelaburan itu berkata, hutang luar negara Malaysia dan hutang denominasi luar negara juga pada tahap rendah dan boleh diuruskan.

Sehingga 2017, hampir 97 peratus daripada hutang kerajaan adalah dalam denominasi ringgit dan hanya 3.1 peratus adalah denominasi asing.

Menurut MIDF, bagi setiap RM1 hutang kerajaan Malaysia pada 2017, 71 sen adalah domestik manakala 29 sen adalah luar negara.

Walaupun kadar hutang luar negara meningkat, pertumbuhannya adalah sederhana sejak 2010, dengan pertumbuhan hutang kerajaan secara keseluruhan berkembang pada kadar sama.

“Hakikatnya, hutang luar negara susut sebanyak 3.6 peratus tahun lalu sementara hutang domestik melonjak sebanyak 10.5 peratus.

“Dengan struktur semasa hutang kerajaan, risiko kesan penularan adalah minimum disebabkan oleh pendedahan yang kecil kepada hutang luar negara,” kata MIDF.

Menurut MIDF, disebabkan caj perkhidmatan hutang luar negara yang tidak ketara, perbelanjaan kerajaan tidak akan terjejas jika ringgit terus menyusut, bagaimanapun pengurangan pendapatan mungkin berlaku jika ekonomi global lembap dan harga komoditi merosot.

Kata MIDF, ringgit mencatat prestasi yang lebih baik dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, purata pada RM4 berbanding dolar, daripada purata tahun lalu pada RM4.30.

Berdasarkan kadar pertumbuhan, ringgit turut meningkat berbanding pelbagai mata wang dalam tempoh sembilan bulan pertama, tahun ke tahun, termasuk dolar Australia (+10.2 peratus tahun ke tahun), dolar Singapura (naik 5.1 peratus tahun ke tahun) dan Euro (meningkat 1.5 peratus tahun ke tahun), kata MIDF.

“Kestabilan politik, tekanan inflasi yang berkurangan, asas ekonomi yang kukuh dan kenaikan harga tenaga global menjadi antara faktor menyumbang kepada pengukuhan ringgit. Kami mengekalkan unjuran kami bahawa ringgit akan berada pada purata 4.00 tahun ini,” kata MIDF.

Sementara itu, MIDF menyebut, dasar perlindungan yang membabitkan aliran pelaburan daripada Amerika Syarikat (AS) tidak akan memberi kesan secara langsung kepada Malaysia berikutan aliran masuk bersih pelaburan langsung asing (FDI) AS ke negara ini tidak ketara.

Menurut MIDF, purata bahagian FDI AS ke Malaysia hanya dua peratus, pasca krisis kewangan global, pada 2009, manakala bahagian Kesatuan Eropah dan Asia Tenggara daripada jumlah aliran masuk bersih FDI Malaysia, masing-masing sebanyak 22.4 peratus dan 22.9 peratus.

“Selain itu, risiko kesan penularan berkurangan disebabkan kepelbagaian sumber FDI,” kata MIDF sambil menambah, perdagangan Malaysia kurang terjejas daripada dasar perlindungan AS berikutan negara itu bukan lagi rakan dagang utama Malaysia.

Jumlah perdagangan dengan AS merosot daripada 18.7 peratus pada 2000 kepada 8.2 peratus pada tahun lalu.

Bagaimanapun menurut MIDF, kesan tidak langsung daripada ketegangan perdagangan global tidak dapat dielakkan walaupun asas ekonomi Malaysia baik.

“Sekurang-kurangnya dalam jangka masa pendek, pasaran kewangan kita tidak dapat mengelak aliran portfolio antarabangsa dari rantau ini.

“Berdasarkan ini, penting pada suku kedua tahun ini, yang bersamaan dengan bermulanya ketegangan perdagangan AS-China, aliran bersih dana ekuiti asing mula menjadi negatif dan pasaran ekuiti tempatan mula merosot,” kata MIDF.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :