NASIONAL

Minuman Alkohol: Larangan jual naik kepada 21 tahun

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewartakan pindaan peraturan berkaitan minuman beralkohol di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 pada 27 Mei 2016 dan berkuatkuasa pada hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pindaan peraturan tersebut terdiri daripada pindaan ke atas peraturan 361 mengenai standard am bagi minuman beralkohol sedia ada dan mewujudkan peraturan baru 386A mengenai Sebatian Minuman Keras (Compounded Hard Liquor atau CHL).

“Pindaan ini melarang penjualan minuman beralkohol kepada mereka berumur 21 tahun berbanding 18 tahun sebelum ini.

“Setiap penjual diwajibkan mempamerkan notis ‘Meminum Arak Boleh Membahayakan Kesihatan’ di hadapan premis jualan dan label semua produk beralkohol.

“Selain itu, tanda larangan jualan kepada bawah umur 21 tahun di kaunter jualan serta mewajibkan semua minuman beralkohol untuk jualan dipamerkan di kabinet atau rak berasingan dari makanan lain,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen.

Menurutnya, pindaan ini selaras dengan ‘Global Strategy to Reduce the Harmful Use of Alcohol’ yang telah dimertai semua Menteri Kesihatan semasa World Health Assembly ke-63 pada 2010 untuk mengurangkan kebolehdapatan minuman beralkohol di pasaran

“Standard baru CHL diwujudkan bagi mengawal keselamatan dan kualiti produk serta memberi maklumat yang tepat kepada pengguna.

“CHL merupakan minuman beralkohol dihasilkan daripada minuman beralkohol seperti wiski, rum, vodka dan brandi dengan etil alkohol yang ditambah atau sulingan yang berasal daripada pertanian.

“Standard yang baru ini juga menetapkan bahawa produk CHL hanya dibenarkan dijual dalam botol kaca dengan isipadu minima 700ml,” katanya.

Dzulkefly berkata, kegagalan mematuhi peraturan 361 dan 386A mengenai CHL merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.


Pengarang :