EKONOMI

MITI akan tambah baik insentif pelaburan

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang menambah baik insentif pelaburan yang akan memberikan keputusan menang-menang kepada pelabur dan negara, kata menteri berkenaan Datuk Darell Leiking.

Beliau berkata kerajaan dijangka mengumumkan insentif tersebut semasa pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November ini.

“Kita mesti mengkaji beberapa insentif, namun ia mesti mengikut kemampuan kita dan baik untuk pelabur,” katanya kepada pemberita pada Persidangan Pelabur Malaysia: Permulaan Baharu 2018 (Malaysia: A New Dawn Investors Conference 2018) di sini hari ini.

Ditanya mengenai bidang utama pelaburan baharu di negara ini, Darell berkata Malaysia perlu menceburi sektor ekonomi digital berikutan banyak bakat tempatan dengan idea-idea perniagaan bagi meningkatkan sektor tersebut.

“Kita melihat ramai rakyat Malaysia menjalankan perniagaan di luar negara, namun mereka kembali ke Malaysia untuk berkhidmat. Justeru, sambil mengekalkan industri sedia ada, kita juga mesti menuju ke arah ekonomi digital,” katanya.

Darell berkata MITI akan mengadakan mesyuarat berhubung pembangunan ekonomi digital tidak lama lagi apabila kementerian tersebut mempengerusikan Majlis e-Dagang Kebangsaan.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :