SELANGOR

MMKN lulus 354 calon ketua kampung termasuk lima wanita

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 OKT: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sudah meluluskan nama calon ketua kampung bagi 354 kampung di Selangor termasuk lima daripadanya adalah wanita.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, semua calon yang lulus sudah melalui proses temuduga dengan panel terdiri daripada Pejabat Daerah, Penghulu serta Ahli Dewan Negeri (ADN) masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat 17 lagi kekosongan jawatan ketua kampung yang akan dikemukakan kepada MMKN dalam tempoh terdekat menjadikan jumlah semua kampung adalah 371.

“Calon berjaya diberi surat pelantikan oleh Kerajaan Negeri melalui setiap Pejabat Daerah dan sudah mula berkuatkuasa mulai semalam (1 Oktober) sehingga 31 Disember 2020.

“Selaras dengan keputusan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Rina Mohd Harun pada Jun lalu yang ingin menggantikan istilah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ditukar kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK),” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Rakyat DUN Batu 3, di sini, hari ini.

Rodziah berkata, setiap ketua kampung perlu melantik seorang setiausaha dan 11 biro sekali gus menjadikan MPKK seramai 13 untuk setiap kampung.

“Di bawah portfolio saya sendiri, saya bersetuju mahu menubuhkan dua biro iaitu Biro Disiplin bagi memantau tatatertib ketua kampung dan Biro Memantau Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

“Malah, saya berasa amat gembira kerana kali ini kita membuat perubahan dengan melantik wanita selaku ketua kampung dan melibatkan 30 peratus penglibatan golongan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, katanya, lima ketua kampung wanita itu terdiri daripada calon dari kampung tradisi iaitu di Hulu Selangor (satu); Kuala Langat (satu) dan Hulu Langat (tiga).


Pengarang :