NASIONAL

MOA tubuh jawatankuasa bersama banteras pencerobohan nelayan asing

PASIR PUTEH, 13 OKT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) menubuhkan jawatankuasa bersama membabitkan empat kementerian lain bagi membanteras aktiviti pencerobohan nelayan asing menangkap ikan secara haram di perairan negara yang semakin membimbangkan ketika ini.

Timbalan menterinya, Sim Tze Tzin berkata jawatankuasa itu membabitkan Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertahanan.

“Setiap kementerian mempunyai peranan tersendiri (dalam jawatankuasa berkenaan) bagi membanteras penyeludupan dengan lebih berkesan,” katanya selepas meninjau Pelabuhan Perikanan Tok Bali dan mengadakan dialog dengan nelayan di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha MoA, Badrul Hisham Mohd, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jamaluddin Othman dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Tan Geik Hong.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebagai contoh Kementerian Luar boleh memainkan peranan mereka dalam jawatankuasa berkenaan dengan membangkitkan isu tersebut terhadap negara-negara yang didapati rakyatnya menceroboh perairan Malaysia.

Sim berkata selain itu, KDN dan Kementerian Pertahanan boleh melaksanakan tugas mengawal perairan negara kerana mempunyai aset yang mencukupi untuk menjalankan tugas berkenaan.

Katanya kelima-kelima kementerian juga boleh mengadakan perbincangan bersama untuk mencari kaedah yang lebih berkesan untuk penguatkuasaan di perairan negara terutama di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) .

“Adalah tidak adil kekayaan hasil laut negara dikaut sewenang-wenangnya oleh rakyat negara luar yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat negara ini sendiri,” katanya.

Sim berkata pencerobohan itu juga menyebabkan jumlah perdaratan ikan di pelabuhan perikanan di seluruh negara semakin berkurangan di sebalik hasrat kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import ikan dari luar negara.

Dalam masa yang sama beliau mengakui isu tersebut tidak boleh ditangani dalam masa yang singkat kerana telah berlarutan dalam tempoh yang lama.

Katanya kementeriannya juga bercadang untuk meminda Akta Perikanan sedia ada untuk mengenakan denda lebih berat terhadap nelayan asing yang berjaya ditangkap agensi penguatkuasaan ketika menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan negara.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :