PBTSELANGOR

MPAJ alu penggunaan SSP, kemudahan tambahan kepada pengguna

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyambut baik penggunaan Smart Selangor Parking (SSP) kerana ia menawarkan kemudahan tambahan kepada pengguna di kawasan berkenaan.

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussain berkata, Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor) melalui Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) telah mewujudkan sistem aplikasi parkir pintar bersepadu menerusi pembangunan sistem e-wallet.

“Ia memberi kemudahan kepada pengguna tanpa perlu menggunakan kupon atau wang tunai.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan MBI yang mewujudkan sistem parkir atas talian, SSP diguna pakai pihak berkuasa tempatan di seluruh Selangor dan MPAJ menyambut baik penyelarasan ini,” katanya dalam majlis pengenalan penggunaan SSP bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini, hari ini.

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han dan Ahli Dewan Negeri Teratai, Lai Wai Chong.

Beliau berkata, MPAJ mula mengambilalih sepenuhnya pengurusan tempat leta kereta mulai 1 September 2016 dan ketika ini menguruskan 14,363 petak tempat letak kereta di 22 kawasan menggunakan sistem kupon.

Bagaimanapun, katanya, bagi tujuan peningkatan hasil, MPAJ melancarkan aplikasi atas talian, MPAJ Parking bagi memudahkan pengguna membuat bayaran dan penguatkuasa menyemak bayaran kenderaan menggunakan teknologi LPR ke atas nombor kenderaan sejak 1 Mei tahun lalu.

Abdul Hamid berkata, MPAJ menggunakan dua kaedah pembayaran iaitu ‘online banking’ dan kad kredit di mana setakat ini jumlah pengguna terkini mencecah lebih 43,361 orang.

“Sehingga kini, hasi kutipan tempat letak kereta MPAJ mencecah kira-kira RM13.2 juta merangkumi jualan kupon harian, pas bulanan, pas bulanan penduduk dan sewaan petak khas.

“MPAJ telah dijadikan ‘benchmarking’ oleh PBT lain seperti Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Segamat, Majlis Bandaraya Ipoh dan Majlis Daerah Kubang Pasu,” katanya.


Pengarang :