PBTSELANGOR

MPAJ rangkul Anugerah Pengurusan Bandar Cemerlang di peringkat antarabangsa

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 16 OKT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berjaya merangkul Anugerah Pengurusan Bandar Cemerlang di Perancis, baru-baru ini.

Ia juga sekaligus membolehkan Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain mendapat pengiktirafan ‘Manager of The Year’ dari Europe Business Assembly (EBA) yang menganjurkan acara berkenaan.

Abd Hamid berkata, anugerah tersebut diberikan atas kecekapan pentadbiran dan pengurusan cemerlang MPAJ kepada masyarakat selama ini.

“EBA adalah badan khas yang memantau kecekapan pentadbiran di peringkat kerajaan tempatan dari sudut ciri kepimpinan pengurusan.

“Mereka turut memantau etika perlaksanaan kerja secara berhemah dan pencapaian kualiti standart antarabangsa mana-mana organisasi yang dipimpin,” katanya dalam temubual khas bersama SelangorKini.

Anugerah tersebut disampaikan ketika Business Triumph Festival dan Malam Anugerah Eropah di Cannes Perancis pada awal bulan ini.

Ia disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur EBA, Prof John W.A Netting dan Presiden Kumpulan Global Club, Christina Briggs.

Abd Hamid berkata, pihaknya yakin kemenangan itu adalah hasil usaha MPAJ meningkatkan aktiviti bersama masyarakat selain berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatannya saban tahun.

Katanya, selain program bersama masyarakat, MPAJ turut memandang serius perkhidmatan buat golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Selain anugerah ini, kami turut pernah menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa termasuk di Filipina dan Singapura.

“Walauapapun, kami berbesar hati menerima pengiktirafan ini dan berharap supaya sentiasa memberi yang terbaik kepada masyarakat,” katanya.

 


Pengarang :