PBTSELANGOR

MPK: Elak parkir di kawasan risiko

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 5 OKT: Majlis Perbandaran Klang menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak meletakkan kenderaan di kawasan berisiko tinggi sepanjang tempoh cuaca tidak menentu bagi mengelakkan kemusnahan harta benda.

Timbalan Yang Dipertuanya, Adi Faizal Ahmad berkata, keselamatan ahli keluarga juga perlu diberi perhatian dan mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti luar, di kawasan berisiko tinggi.

“Saya menyeru kepada semua penduduk Klang untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan pastikan keadaan sekeliling perumahan anda bebas daripada kejadian pokok tumbang di atas kereta bagi mengelakkan kerugian harta benda serta wang ringgit.

“Paling penting, jaga ahli keluarga supaya tidak berada di lokasi berisiko tinggi ketika waktu berlaku ribut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan kepada keluarga kakitangan MPK, di Dewan Serbaguna Teluk Pulai.

Pada masa sama, Adi Faizal berkata, pihaknya dan agensi bertanggungjawab lain sudah bersiap sedia bagi menghadapi air pasang besar yang dijangka berlaku, pada minggu hadapan.

Katanya, MPK sudah menempatkan pasukan PANTAS bagi melakukan pemantauan selama 24 jam serta memaklumkan sebarang kejadian banjir.


Pengarang :