SELANGOR

MPK perintis Braille Tree System di Malaysia

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 31 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjadi perintis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Malaysia menghasilkan ‘Braille Tree System’ (BTS), Pusat Pembelajaran Pokok di Taman Bandar Diraja untuk pembelajaran Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi cacat penglihatan.

Yang DiPertuanya, Mohamad Yasid Bidin berkata, dengan penggunaan plate khas, kumpulan sasar akan mendapat maklumat asas seperti nama saintifik, nama tempatan, ketinggian, ukurlilit dan keluarga pokok.

Katanya, ia sekali gus, membolehkan mereka merasai pokok secara fizikal dan dapat menggunakan deria bau bagi pokok yang beraroma.

“Proses pendidikan orang cacat penglihatan di institusi pendidikan sememangnya menghadapi pelbagai masalah. Jika masalah ini tidak diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan, mereka mungkin tidak memperoleh pendidikan kualitatif untuk kepentingan mereka dan masyarakat.

“Justeru, MPK mahu memberi peluang kepada mereka untuk mengenali pokok dengan lebih dekat dengan menyediakan lokasi luar bilik darjah untuk sesi pembelajaran golongan ini khususnya komuniti buta Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan, di Dewan Raja Mahadi, di sini.

Mohamad Yasid berkata, BTS berkenaan merupakan usaha Jabatan Taman dan Rekreasi dalam menghubungkan kumpulan sasar dan alam sekitar.

“MPK juga mahu menanam sikap hormat serta kasih sayang golongan normal kepada golongan OKU ini dalam menyediakan kemudahan untuk mereka.

“Dengan perlaksanaan BTS ini, maka bertambah lagi elemen pendidikan di Pusat Pembelajaran Pokok secara komprehensif untuk golongan ini,” katanya.


Pengarang :