PBTSELANGOR

MPK pertingkat siap siaga hadapi kemungkinan bencana alam

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 3 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) sentiasa bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan atau bencana terutamanya ribut mahupun banjir sejak kebelakangan ini.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, MPK melalui Pasukan Tindakan Segera (Pantas), Jabatan Perkhidmatan Persekitaran dan Jabatan Taman dan Rekreasi akan bersedia 24 jam.

Katanya, pihaknya itu juga membuat persediaan memberi bantuan awal menghadapi sebarang kemungkinan.

“MPK sentiasa bersedia menyediakan pos gerakan sementara di kawasan yang mengalami bencana banjir bagi membantu mangsa dari segi keselamatan dan logistik.

“MPK juga giat menjalankan kerja pembersihan parit membabitkan beberapa kawasan di daerah ini sebagai persediaan menghadapi banjir,” katanya.

Mohamad Yasid berkata, jabatan penguatkuasa memantau sebanyak 76 lokasi kamera litar tertutup (CCTV) oleh Unit CCTV MPK.

Terdahulu, Mohamad Yasid turun padang melihat kerosakan yang berlaku akibat ribut yang melanda Klang, kelmarin.

Sebanyak 74 aduan pokok tumbang sehingga jam 11.35 malam kelmarin.

Manakala, sehingga jam 9.40 pagi tadi, 80 aduan diterima dan 30 aduan daripadanya dialihkan.

Semalam, hujan lebat dan angin kencang melanda sekitar Klang petang tadi mengakibatkan kerosakan teruk kepada sejumlah kenderaan, kemudahan awam dan bangunan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Mohd Rizal Buang berkata, hujan lebih satu jam turut menyebabkan beberapa bumbung rumah tercabut dan diterbangkan angin ribut.

Angin kencang itu turut melanda kawasan berhampiran Bulatan 100 menghala ke Shah Alam.

Dalam pada itu, menerusi rakaman video yang tular di laman sosial Facebook memaparkan angin ribut turut menerbangkan bumbung premis perniagaan dan kilang.

Struktur bumbung itu kemudian dirakam jatuh menghempap beberapa kenderaan.


Pengarang :