PBTSELANGOR

MPK tangkap 5,867 ekor anjing liar sehingga Oktober

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 31 OKT: Dalam usaha mengekang pelbagai wabak penyakit, Majlis Perbandaran Klang (MPK) menangkap 50 ekor anjing liar di kawasan Sungai Lima dan Pulau Ketam, baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, Jabatan Veterinar Negeri turut membuat kajian dan mengambil sampel anjing untuk kajian penyakit Rabies.

“Anjing berkenaan turut disuntik, manakala bangkai dilupuskan kontraktor dilantik MPK di tapak pelupusan, di Jeram, Kuala Selangor.

“Setakat Oktober tahun ini, MPK sudah menangkap 5,867 anjing di seluruh daerah ini, berbanding 11, 987 ekor, pada tahun lalu.

“MPK juga menerima 1,672 aduan setakat ini, berbanding 2,473 pada tahun lalu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan MPK, di Dewan Raja Mahadi, di sini.

Katanya, sebanyak 1,169 ekor anjing berlesen, pada tahun ini manakala 1,345 ekor, pada tahun lalu.

Pada masa sama, beliau mahu pemilik anjing mendapatkan lesen sah bagi memelihara haiwan peliharaan itu.

“MPK tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab kerana mahu mengelakkan sebarang penyakit menular dan mengganggu keselamatan penduduk,” katanya.

Ops penangkapan anjing itu dijalankan selama dua hari pada 28 dan 29 Oktober lalu membabitkan 13 orang daripada Jabatan Kesihatan.

 


Pengarang :