SELANGOR

MPKj komited kurangkan kutipan sisa pepejal, kompos dan kitar semula

OLEH NORHAYATI UMOR

BANGI, 4 OKT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) komited meneruskan usaha mengurangkan kutipan sisa pepejal, sisa kompos dan sisa kitar semula dalam kawasan Bandar Baru Bangi.

Yang DiPertuanya, Sayuthi Bakar berkata, bandar itu dipilih sebagai kawasan perintis dalam melaksanakan projek ‘Low Carbon City Framework’ (LCCF) 2035.

Katanya, MPKj perlu mencapai pengurangan karbon sekurang-kurangnya dua peratus bagi melayakkan PBT itu mendapat sijil pengiktirafan satu berlian dari Greentech.

“Setakat ini jumlah pelepasan karbon berdasarkan penanda aras 2017 adalah 3,012.59 tan metrik, manakala penyerapan karbon oleh tumbuhan landskap sedia ada 81.58 tan metrik.

“MPKj juga mahu mengurangkan 322.29 tan metrik sisa pepejal iaitu 90.37 tan metrik minyak masak; 109.50 tan metrik sisa kompos dan 122.42 tan metrik sisa kitar semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pelaksanaan Perbandaran Rendah Karbon Bandar Baru Bangu 2035, di Laman Bangiku, Seksyen 9, di sini.

Sayuthi berkata, aktiviti kutipan sisa makanan untuk pengkomposan membabitkan 60 kedai makan di kawasan itu juga sudah dimulakan sejak 15 Mac lalu.

“Hasil kutipan pengkomposan bagi tempoh itu sehingga 16 OGOS lalu, adalah 103.15 tan dengan purata 20.63 tan sebulan.

“Manakala, bagi kutipan minyak masak terpakai sebanyak 5.49 tan dengan purata 1.098 tan sebulan serta barangan kitar semula sebanyak 8.73 tan dengan purata 1.746 tan sebulan,” katanya.

Beliau berkata, hasil kutipan ketiga-tiga program itu sangat bergantung kepada kesedaran peniaga dalam kawasan kajian.

Sehubungan itu, beliau berharap peniaga dapat bekerjasama dengan MPKj dalam usaha meningkatkan hasil kutipan bagi mencapai purata sasaran bulanan sebanyak 26.85 tan berbanding kutipan semasa iaitu 23.47 tan.

Bagi menjayakan LCCF di kawasan berkenaan, MPKj juga memperuntukkan RM278,000 untuk tujuan penanaman pokok.

Setakat ini, sebanyak 130 pokok sudah ditanam manakala 160 pokok lagi akan ditanam, pada tahun hadapan.

 


Pengarang :