SELANGOR

MPP bantu hubungan mesra Kerajaan Negeri dan penduduk

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 OK : Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) yang aktif menjadi salah satu faktor hubungan erat diantara Kerajaan Negeri dan juga penduduk, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, MPP turut memainkan peranan untuk mengenalpasti tuntutan dan isu yang dibangkitkan penduduk kerana mereka bertemu secara langsung.

“Ahli-ahli MPP ini tidak bergaji dan tidak mempunyai elaun tetap, namun sumbangan mereka di dalam mengaktifkan komuniti membantu serta mengekalkan Shah Alam menjadi bandaraya terbaik.

“Tanggungjawab yang ditunjukkan oleh ahli MPP kepada penduduk dan masyarakat ini amat membanggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Karnival Sukan Bendang anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Taman Botani Negara, Bukit Cahaya Seri Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Mengulas lanjut mengenai karnival berkenaan, Amirudin berkata, usaha MBSA bersama MPP perlu dipuji atas semangat cintakan alam sekitar.

“Program sebegini dapat memupuk semangat cintakan kehijauan di kalangan penduduk, tidak semestinya acara sukan hanya diadakan di padang sahaja, namun Shah Alam bertuah kerana mempunyai taman seperti Taman Botani sekali gus membolehkan penduduknya berkumpul dalam suasana aman.

“Selain mengeratkan hubungan silaturrahim, ia juga dapat membina budaya sayangkan kehijauan yang sedia ada di Shah Alam,” katanya.


Pengarang :