SELANGOR

MPSepang anjur Karnival Hari Bertemu Pelanggan Sabtu ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 12 OKT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengadakan Karnival Hari Bertemu Pelanggan 2018, di Kip mall Kota Warisan, di sini, pada 13 Oktober ini.

Unit Korporat dan Perhubungan Awamnya, Afra Fardillah Zaimustapar, berkata karnival berkenaan dijadual bermula jam 10 pagi hingga 2 petang.

“Karnival Hari Bertemu Pelanggan merupakan salah satu usaha untuk membolehkan orang awam menyuarakan masalah, cadangan dan pandangan serta bertemu secara terus dengan pegawai jabatan, bahagian juga unit yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Afra berkata, orang ramai dipelawa hadir menjayakan karnival itu kerana pelbagai aktiviti menarik turut disajikan.

“Booth pameran dibuka seperti Kempen Derma Darah dari Pusat Darah Negara, pemeriksaan kesihatan secara percuma dari CUCMS, Spa and Beauty (refleksologi) yang ditawarkan pada kadar istimewa.

“Selain itu, terdapat juga beberapa aktiviti kanak-kanak seperti permainan tradisional (congkak dan batu seremban), pertandingan mewarna, pertandingan “Kids Idol” dan badut,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung program terbabit, orang ramai boleh menghubungi Afra Fardillah di talian 012-2356649.


Pengarang :