PBTSELANGOR

MPSJ & Malakoff bersatu hijaukan bumi

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA, 8 OKT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Malakoff bekerjasama menghijaukan bumi di Taman Kejiranan Putra Bahagia 8/3K, Putra Heights, di sini pada 6 Oktober, lalu.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, program itu direalisasikan antara MPSJ dan Malakoff dengan bantuan daripada Yayasan Hijau (YaHijau) serta Jawatankuasa Penduduk (Zon 7).

“Program ini merupakan julung kali diadakan sebagai usaha merealisasikan penghijauan bumi sebagai salah satu Program Tanggungjawab Sosial Korporat pihak Malakoff.

“Objektif utama program ini bertujuan memupuk semangat mencintai alam sekitar, meningkatkan keindahan dan nilai estetika setempat, mengeratkan serta memperkukuhkan hubungan baik antara pihak Malakoff, YaHijau, MPSJ juga Jawatankuasa Penduduk Zon 7,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penanaman Pokok MPSJ dan Malakoff, di sini.

Sementara itu, Noraini berkata, pelaksanaan program itu selaras dengan pelan Strategik 2012-2030 MPSJ di bawah Teras 2 iaitu Perancangan dan Pembangunan Mampan Serta Mesra Alam Sekitar.

“MPSJ berjaya melangkaui sasaran Kerajaan Negeri bagi penanaman 80,000 anak pokok setahun dan sehingga September 2018, sebanyak 135,946 anak pokok berjaya ditanam di sekitar kawasan pentadbiran.

“Ia selaras usaha membantu meningkatkan kadar penyerapan karbon dioksida sekali gus mengurangkan kesan gas rumah hijau dan pemanasan global. Ia juga merupakan Pelan Kerajaan Negeri untuk menyumbang kepada pengurangan 45 peratus intensiti pelepasan gas karbon menjelang 2030,” katanya.

Justeru, Noraini optimis dengan pelaksanaan program itu, ia dapat menghijaukan kawasan setempat sekali gus merealisasikan hasrat MPSJ untuk menjadi Bandar Hijau menjelang 2030.

Terdahulu, program itu dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Datuk Seri Dr Mohd Azhar Yahaya.

Pada program itu, Malakoff turut menyumbangkan 500 pokok terdiri daripada 16 spesies manakala hanya 150 pokok ditanam sepanjang program berlangsung.

Antara jenis pokok ditanam adalah Tamarindus indica (Asam Jawa); Spondias dulcis (Kedondong); Annona muricata (Durian Belanda); Averrhoa bilimbi (Belimbing Buluh); Barringtonia racemosa (Putat Kampung); Lagerstroemia speciosa (Bungor) dan Phyllantus acidus (Cermai).


Pengarang :