Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)
PBTSELANGOR

MPSJ mula pemutihan terhadap pemaju dan pengurusan bangunan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 OKT: Tindakan denda dan penjara, itulah amaran yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kepada pemaju dan pengurusan bangunan yang enggan bekerjasama dalam program pemutihan, kali ini.

MPSJ melalui kenyataannya memberitahu, Pesuruhjaya Bangunan MPSJ sedang mengadakan Program Pemutihan sehingga 31 Disember 2018.

Katanya, sehingga tarikh itu, MPSJ memberi peluang kepada pemaju, badan pengurusan bersama, perbadanan pengurusan dan perbadanan pengurusan subsidiari untuk mengadakan mesyuarat agung pertama atau tahunan serta menguntukkan unit syer bagi setiap petak.

“Kegagalan menjalankan segala tanggungjawab tersebut selepas tarikh tersebut menyebabkan pihak berkenaan boleh didakwa di mahkamah, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda atau penjara atau kedua-duanya di bawah penalti kesalahan,” kata kenyataan tersebut.

Tindakan berkenaan adalah selaras dengan kehendak undang-undang yang dinyatakan di dalam Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) dan Peraturan-Peraturan.

Pada sama sama, pihak terbabit perlu mematuhi segala tanggungjawab yang lain di bawah Akta 757 tersebut.

“Untuk makluman juga, pemutihan tersebut tidak termasuk bagi kesalahan kegagalan mematuhi award (Seksyen 123) yang dibuat oleh Tribunal Pengurusan Strata.
“Justeru, MPSJ berharap pihak yang berkenaan boleh mengambil peluang yang diberi ini sebaik mungkin,” katanya.

 


Pengarang :