SELANGOR

MPSJ tambah baik infrastruktur atasi banjir

OLEH HAFIZAN TAIB

PUCHONG, 5 OKT: Penambahbaikan infrastruktur dilakukan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan pihak berkaitan diharap dapat mengatasi isu banjir kilat di kawasan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) KM23.8 berdekatan susur keluar Bandar Puteri, di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, usaha itu juga diharap membawa kebaikan kepada MPSJ dan penduduk dengan kelancaran lalu lintas.

“Dengan langkah telah diambil itu, saya berharap pemantauan berterusan di kedua lokasi ini supaya banjir kilat tidak berlaku lagi,” katanya kepada media selepas lawatan ke lokasi berlaku banjir kilat itu di sini, hari ini.

Hujan lebat berlaku di kawasan itu pada 2 Oktober lalu, menyebabkan beberapa kawasan dalam pentadbiran MPSJ seperti Kampung Sri Aman, Kampung Kenangan, Kampung Tengah, Kampung Kuala Sungai Baru, Kampung Sri Andalas, Persimpangan Bertingkat Pucohng Utama dan kawasan LDP berhampiran susur keluar daripada Bandar Puteri di sini, ditenggelami air akibat banjir kilat.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, pihaknya mendapati antara punca kejadian itu adalah disebabkan penerimaan taburan hujan amat tinggi berbanding hari biasa serta terdapat halangan di jajaran longkang.

“Kebiasaan taburan hujan pada sekitar 60 milimeter (mm) tetapi kali ini 117 mm dan ia antarabancaan paling tinggi yang kita dapat pada tahun ini.

“Akibat daripada itu, sistem yang ada tidak dapat menampung air hujan yang banyak walaupun ia berlaku pada waktu yang singkat dan ia menjadi lebih teruk apabila terdapat sampah dan bahan buangan di bahagian bawah jambatan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, MPSJ mengadakan lawatan tapak dan memanggil pihak berkaitan antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), IOI Properties, Lingkaran Trans Kota Holdings Berhad (LITRAK) bagi menambahbaik infrastruktur sedia ada di kawasan ini.

Katanya, kerja dan tindakan pemantau akan terus dilakukan sehingga berakhir musim hujan.

Ketika berlaku banjir kilat, pasukan Tindakan Segera (Pantas) MPSJ juga turun ke lokasi bagi tujuan pengurusan banjir serta membuat kerja pemotongan pokok yang menghalang lalu lintas.


Pengarang :