NASIONAL

MRT2 diteruskan: Putrajaya-MMC Gamuda sepakat, jimat RM8.82 bilion

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 OKT: Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan projek Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (MRT2) diteruskan oleh MMC-Gamuda selepas syarikat itu bersetuju memberikan potongan kos yang lebih besar.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataan berkata, kos kontrak pembinaan MRT2 dapat dikurangkan RM8.82 bilion dari RM39.35 bilion kepada RM30.53 bilion.

“Sebelum ini, MMC- Gamuda bersetuju memberikan potongan kos RM5.22 bilion untuk kerja-kerja atas tanah, yang diterima oleh MOF.

“Akan tetapi MMC-Gamuda hanya tawarkan potongan sebanyak RM2.13 bilion untuk kerja-kerja bawah tanah, yang tidak dipersetujui oleh MOF.

“Itulah sebabnya kontrak kerja bawah tanah ditamatkan. Akhirnya selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathi Mohamad meminta saya untuk merundingkan sendiri perkara ini buat kali terakhir dengan MMC-Gamuda, syarikat itu bersetuju dengan MOF untuk menambahkan lagi potongan kos untuk kerja bawah tanah daripada RM2.13 bilion kepada RM3.6 bilion.

“Ini bermakna kos pembinaan (tidak termasuk kos faedah, kos pengambilan tanah dan kos-kos lain) MRT2 berjaya dikurangkan RM8.82 bilion (22.4 peratus) daripada RM39.35 bilion kepada RM30.53 bilion,” katanya.

Beliau berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut bersetuju dengan tawaran baru oleh MMC-Gamuda dan kos rasionalisasi yang berjaya dijalankan oleh MOF.

Selain itu, Jemaah Menteri memutuskan supaya kontrak kerja- kerja bawah tanah yang bernilai RM16.71 bilion ditamatkan dan kerja-kerja yang belum siap ditender semula.

Ini adalah kerana Kerajaan Persekutuan dan MMC- Gamuda gagal mencapai persetujuan dan penyelesaian untuk kos kerja-kerja bawah tanah.

“Susulan daripada keputusan di atas, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk merunding semula atas rayuan daripada pihak MMC-Gamuda.

“Rundingan terakhir bersama MOF pada 22 Oktober 2018 dan tawaran baru dengan penurunan kos sebanyak RM3.6 billion atau 21.5% untuk kerja-kerja bawah tanah telah dipersetujui oleh pihak syarikat dan MOF.

“Berikutan daripada persetujuan itu, Jemaah Menteri telah menerima dan meluluskan tawaran terkini daripada MMC-Gamuda pada pagi ini.

“Oleh yang demikian, keputusan untuk menamatkan kontrak kerja-kerja bawah tanah ditarik balik dan MMC-Gamuda akan meneruskan projek ini dengan kos sebanyak RM13.11 bilion,” katanya.

Sementara itu, bilangan stesen atas tanah MRT2 terus dikekalkan kepada 33 stesen manakala dua buah stesen bawah tanah di Bandar Malaysia (Utara) dan Bandar Malaysia (Selatan) akan ditangguhkan.

 


Pengarang :