SUKANKINI

MSDeaf harap banyak pihak hulur dana bantu atlet

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 16 OKT: Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) berharap lebih banyak pihak tampil membantu atletnya yang terpilih mewakil negara, bertanding ke peringkat antarabangsa.

Presidennya, Kamarzaman Harun berkata, pihaknya memerlukan dana tambahan bagi tujuan itu termasuk penganjuran Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018 kali ini.

“Kita berharap ada pihak daripada kerajaan, swasta atau badan korporat yang sudi membantu dalam perkara ini.

“Selain SOPMA ke-20 yang kita anjurkan ini, kita juga akan membuat persiapan untuk pelbagai kejohanan lain pada tahun depan termasuk peringkat antarabangsa seperti Sukan Orang Pekak ASEAN dan kejohanan lain di peringkat Asia Pasitfik juga seterusnya,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian pembukaan SOPMA 2018 di Dewan Seri Perdana, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah di sini, semalam.

Berhubung SOPMA 2018 ini, beliau berkata, temasya kali ini mempertandingkan lima acara iaitu, bola sepak, tenpin boling, badminton, olahraga dan futsal.

“Kita menawarkan tambahan pingat pada SOPMA 2018 ini menjadikannya 46 pingat emas berbanding 45 emas sebelumnya dengan adanya acara futsal,” katanya.

Seramai 2,500 atlet dan pegawai dari 14 negeri terbabit dalam SOPMA ke 20 kali ini.

Pada SOPMA 2016 lalu, Wilayah Persekutuan muncul juara keseluruhan dengan meraih 12 emas, lapan perak dan lima gangsa.


Pengarang :