SELANGORSUKANKINI

MSN Selangor anjur ‘FIFA19 Challenge’, kembang potensi e-Sport

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 9 OKT: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menerusi Bahagian Pembangunan Generasi Muda berjaya menganjurkan Kejohanan ‘FIFA19 Challenge’ di Universiti Selangor (UNISEL), di sini, pada 6 Oktober lalu.

Edisi sulung penganjuran sukan berasaskan e-Sport itu turut mendapat sokongan dan kerjasama penuh daripada School of Gamers (SOG).

Timbalan Pengarahnya, Jestin Raj Savarimuthu berkata, kejohanan itu bertujuan memberi pendekatan lebih dekat kepada generasi muda, memandangkan e-Sport adalah ‘niche market’ yang bergerak seiring dengan keperluan perkembangan teknologi semasa.

“Permainan digital adalah satu trend baru anak-anak muda yang semakin meningkat, bahkan perusahaan melalui digital ini juga sedang giat membangun di Malaysia dan menerima galakan serta sokongan dari Kementerian Belia dan Sukan.

“Program e-Sport juga dilihat semakin relevan dan diterima umum kerana ia tiada tarikh luput, selain keperluan teknologi mengikut masa yang kian berubah jelas membuktikan bahawa setiap permintaan itu pasti akan ada penyampaian,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Kejohanan itu menawarkan hadiah utama Sony Playstation 4, RM 300 (kedua), RM 200 (ketiga), RM100 (keempat) dan RM50 (kelima).

Mengulas lanjut, Jestin berkata, Kerajaan Negeri komited dalam usaha membangun dan meningkatkan potensi industri e-Sport, khususnya kepada golongan belia di Selangor.

Katanya, ia turut memberi pendedahan secara meluas mengenai perkembangan teknologi komputer dengan perisian terkini.

“Kerajaan Negeri sentiasa cakna dan di hadapan jika ia melibatkan industri e-sport. Hal ini dibuktikan melalui penganjuran Selangor Cyber Games oleh MSN untuk tempoh lima tahun berturut-turut, baru-baru ini.

“Sudah tentu program seperti ini antara yang dinanti penggemarnya kerana menawarkan hadiah lumayan dan memberi peluang kepada mereka yang mahu menjadikan e-Sport sebagai sumber pendapatan.

“Malah,sudah ramai menjadi jutawan dengan menjadi pemenang e-Sport,” katanya.


Pengarang :