Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi
SELANGORSUKANKINI

MSN Selangor, SelSDeaf erat kerjasama tingkat sukan orang pekak

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 20 OKT: Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor komited meningkatkan kerjasama dengan Persatuan Sukan Orang Pekak Selangor (SelSDeaf) bagi memastikan pembangunan sukan golongan itu berterusan dan terus diperkasakan.

Timbalan Pengarah (Pembangunan Sukan) MNS Selangor, Mohamad Nizam Marjugi berkata, kerjasama erat antara kedua pihak akan sentiada terjalin demi kebaikan sukan orang pekak di Selangor.

“MSN Selangor akan sentiasa membantu SelSDeaf dalam perkara berkaitan untuk meningkatkan kualiti prestasi atlet negeri supaya mampu menyaingi ahli sukan dari negeri lain.

“Kita akan bekerjasama rapat dengannya dengan melihat apa acara dipertandingkan dalam Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) dan kejohanan lain pada masa akan datang,” katanya kepada Media Selangor di sini, semalam.

Beliau berkata, MSN Selangor akan turut membantu dari segi program latihan atlet dari SelSDeaf bagi memastikan mereka mencapai kualiti ditetapkan kerana sukan orang pekak kini mencapai standard yang tinggi.

“Ini bagi memastikan Selangor sentiasa dapat bersaing dengan negeri lain terutama dalam kejohanan besar seperti SOPMA ini,” katanya.


Pengarang :