BERITA UTAMANASIONAL

Mufti: Kematian enam anggota bomba dianggap syahid

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 OKT: Kematian enam anggota Bomba dan Penyelamat ketika menjalankan operasi menyelamat (SAR) seorang remaja terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong dianggap syahid.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hal itu kerana keenam-enam Allahyarham merupakan insan terpilih dan mempunyai hati yang suci serta memahami tugas atau amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Berita kematian enam anggota Bomba kerana ingin menyelamatkan mangsa berakhir dengan terkorban mati lemas menginsafkan kami, serta memberi makna yang mendalam pada maksud pengorbanan dalam tugas.

“Kami iktibarkan mereka sebagai syahid berasaskan kepada nas hadis. Tetapi, kepada rakan kita ini, mereka jauh lebih mulia kerana bukan sahaja mereka mati lemas, tetapi menolong dan membantu mangsa sehingga terkorban.

“Mereka adalah insan-insan terpilih dan mempunyai hati yang suci serta amat memahami tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan, terutamanya dalam kecemasan hingga kepada nafas yang terakhir dan denyut nadi yang terakhir. Inilah syuhada’ kita. Semoga Allah menempatkan mereka bersama para nabi, al-siddiqin dan syuhada’. Amin,” tulisnya menerusi laman Facebooknya.

Dr Zulkifli berkata, atas asas berkenaan, perasaan dukacita di atas perkara dan tragedi yang berlaku dan gembira atas semangat yang ditunjukkan, disifatkan luar biasa.

“Syabas Bomba Malaysia dan juga kepada mereka yang bertindak seperti syuhada’ kami ini.

“Kepada ahli keluarga, bertabahlah. Setiap apa yang telah berlaku pasti ada hikmah yang kadang-kadang amat sukar ditafsirkannya.

“Kepada rakyat Malaysia, saya syorkan agar dihulurkan bantuan kepada kaum keluarga untuk meringankan beban mereka dan terus dapat meneruskan kehidupan sekalipun diuji dengan perpisahan orang tercinta,” katanya.

Pada masa sama, beliau mahu Kerajaan Persekutuan memberikan anugerah kecemerlangan dan menaikkan pangkat mereka.

“Sesungguhnya, inilah staf kerajaan dan pekerja di era Malaysia baru yang sanggup berkorban apa sahaja,” katanya.

Keenam-enam yang terkorban terdiri daripada empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Dua lagi mangsa adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang dikenal pasti sebagai Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.


Pengarang :