Selangorkini
NASIONAL

Muhyiddin: Menteri & MP tiada ketika perbahasan bukan isu besar

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Menteri dan Ahli Parlimen (MP) tiada dalam dewan semasa sesi perbahasan dijalankan di Parlimen bukan isu besar, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Katanya, perkara perbahasan akan dicatat dan dimasukkan dalam ‘hansard’, serta setiap menteri juga mempunyai pegawai yang akan memaklumkan perbincangan berhubung isu ditimbulkan.

“Saya fikir ia terserah kepada menteri, MP sama ada mahu dengar atau tidak, saya juga tidak tahu kenapa mereka tidak mahu dengar, mungkin sudah selalu dengar.

“Saya sudah lama berada di Parlimen, kadang-kadang ada juga seorang MP berbahas tapi tiada orang dalam dewan, dia tetap berucap hari-hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Pengurusan Pekerja Asing dengan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran di Parlimen, di sini, hari ini.

Terdahulu, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Facebook beliau mempersoalkan berkenaan ketiadaan menteri dan timbalan menteri semasa beliau berbahas di Parlimen.

“Bila saya tulis di FB, ada yang panggil saya bawa ke Parlimen, Bila saya bawa ke Parlimen, ramai menteri dan timbalan menteri hilang. Lain kali saya tulis di FB, sudah,” tulisnya.

Sementara itu, M. Kulasegaran turut mengulas bahawa dengan wujudnya teknologi terkini, perbahasan di Parlimen disiarkan secara langsung menerusi pelbagai medium dan boleh diakses di mana sahaja.

“Walaupun di sini (bilik mesyuarat) kami diberitahu perkara yang berlaku, tidak bermakna kami perlu berada di Parlimen,” katanya.


Pengarang :